RINGKASAN SEJARAH MALAYSIA
Sejarah Malaysia dikatakan bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Pada masa kegemilangannya, wilayah kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera. Melaka muncul sebagai sebuah kerajaan yang gemilang kerana kedudukannya yang strategik iaitu titik pertemuan antara Asia Timur dengan Asia Barat. Keadaan ini membolehkan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan utama khususnya bagi perdagangan rempah di Asia Tenggara. Islam pula muncul sebagai agama utama yang tersebar dan menjadi anutan utama penduduk Melaka kerana rajanya sendiri telah memeluk agama tersebut.
Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis dan bermula dari tahun inilah Tanah Melayu berada dalam era penjajahan. Selepas itu, Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Penjajahan British merupakan penjajahan paling lama. British telah mencampuri semua urusan pentadbiran Tanah Melayu yang sebelum ini diuruskan oleh Raja-Raja Melayu dengan bantuan pembesar-pembesar negeri. Campur tangan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan. Beberapa individu bangkit menentang penjajah namun oleh kerana usaha mereka lebih kepada bersifat perseorangan maka penentangan tersebut dengan mudah dipatahkan oleh British. Antara tokoh yang bangun menentang penjajah ialah Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharajalela, Rosli Dobi dan beberapa tokoh yang lain.
Pada era 1920-an dan 1930-an, ramai penduduk Tanah Melayu mula mendapat pendidikan, sama ada dari Timur Tengah atau pendidikan tempatan. Hasilnya, muncul golongan berpendidikan yang mula memperjuangkan semangat nasionalisme. Mereka menggunakan media seperti akhbar dan majalah untuk menyebarkan ideologi masing-masing. Ada dalam kalangan mereka telah membentuk persatuan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) yang bermatlamat mengusir penjajah dan membentuk kerajaan sendiri. Ketika rakyat negara ini begitu bersemangat untuk menamatkan penjajahan, mereka dikejutkan dengan pendaratan Jepun pada penghujung tahun 1941 yang menandakan bermulanya satu lagi era penjajahan di Tanah Melayu. Jepun telah menduduki Tanah Melayu sehingga tahun 1945 sebelum menyerah kalah ekoran pengeboman Hiroshima dan Nagasaki.
Pengunduran Jepun telah memberi ruang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menguasai Tanah Melayu. PKM telah bertindak ganas dengan membunuh dan memusnahkan harta benda awam dengan sewenangnya sehingga memaksa British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960). Keganasan PKM tidak berjaya menakluki Tanah Melayu dan British kembali berkuasa. Sekembalinya British selepas pendudukan Jepun, mereka cuba memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan ini telah mendapat tentangan yang hebat dan menyeluruh daripada penduduk tempatan. Pada 11 Mei 1946, penubuhan UMNO telah menyemarakkan lagi penentangan tersebut dan seterusnya menyemai bibit-bibit perjuangan ke arah berkerajaan sendiri.
Tanggal 31 Ogos 1957 Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya
Kemerdekaan Tanah Melayu
Kemunculan Tunku Abdul Rahman telah memberi sinar harapan kepada perjuangan penduduk Tanah Melayu ketika itu apabila tindakannya membentuk Parti Perikatan mula membuka mata British untuk membenarkan pendudukan Tanah Melayu mentadbir sendiri negaranya. Perpaduan antara tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India telah menampakkan hasil apabila Perjanjian London yang ditandatangani pada 8 Februari 1956 telah memberi petanda bahawa Tanah Melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957. Setelah kemerdekaan dicapai, timbul pula masalah berhubung dengan penubuhan Malaysia yang menggabungkan Sabah, Sarawak dan Singapura.
Penentangan terhadap penyatuan ini datang daripada Parti Rakyat Brunei, Indonesia dan Filipina. Walau bagaimanapun hasrat untuk membentuk sebuah negara yang dinamakan MALAYSIA tercapai pada 16 September 1963.
No comments:
Post a Comment